Tuesday, March 8, 2011

Sejarah Seni Moden di Malaysia

                                     SEJARAH SENI MODEN DI MALAYSIA

Latar Belakang Kelahiran Seni Lukis Moden Malaysia

Penglibatan Inggeris di Tanah Melayu bermula di Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudian pada tahun 1826, Inggeris telah membentuk Negeri – negeri Selat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pada tahun 1874, pihak Inggeris menandatangani perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak yang mana memperlihatkan perlantikan Residen Inggeris bagi menasihati Sultan dalam hal ehwal kerajaan kecuali yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat melayu. Penglibatan Inggeris dalam hal ehwal pentadbiran telah menggambarkan daya usaha mereka untuk melakukan satu perubahan dalam aspek sosiobudaya. Situasi tersebut boleh ditafsirkan sebagai asas kepada kemunculan bangsa Malaysia moden. Penguasaan Inggeris dalam bidang ekonomi dan sosiopolitik Melayu bertambah kukuh pada abad ke-19 menerusi polisi mereka membawa masuk kaum Cina dan India untuk bekerja dalam sektor perladangan dan perlombongan bijih timah.
            Ekoran daripada tindakan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu. Mereka menganggap hak mereka telah diceroboh sebagai ahli nyata di Tanah Melayu. Tambahan lagi perasaan tidak puas hati itu terpapar dalam akhbar seperti Warta Malaya yang telah menyeru agar orang Melayu bersatu serta menggunakan kuasa untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa mereka. Sistem pentadbiran dan polisi Inggeris telah menyebabkan krisis politik dan ekonomi dalam kalangan bangsa Melayu. Penjajahan Inggeris digambarkan sebagai satu ancaman terhadap masa depan bangsa Melayu sama ada daripada segi budaya dan politik. Pada tahun 1930 – an, banyak karya kartun Melayu yang telah melahirkan kebimbangan dan situasi masyarakat Melayu kesan daripada penjajahan orang Inggeris. Sebagai contoh, karya Abd. Manan yang berjudul “ Barat Tinggal di Barat , Timur Tinggal di Timur ” ( Warta Jenaka, 23 November 1936 ) yang mana bukan sahaja bersifat antibarat, malah pada masa yang sama mengkritik masyarakat Melayu yang terlalu mengagungkan Barat.
            Selanjutnya, kehadiran para pelukis dari Cina pada tahun 1930-an telah mencetuskan suasana berbeza dalam seni lukis moden Malaysia. Akademik Seni Halus Nanyang di Singapura telah dibentuk pada tahun 1938 yang diketuai oleh Lim Hak Tai yang merupakan seorang pelukis ternama dan berwawasan dalam memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Diantara pelukis – pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo Pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Cheng Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas perang dunia ke-2 dan terdedah juga kepada pengaruh modenis aliran – aliran di Perancis. Para pelukis telah memainkan peranan penting dalam memperkayakan stail catan tempatan dengan menggabungkan ciri – ciri timur dan barat. Pada tahun 1830-an, sekolah – sekolah ditubuhkan bertujuan untuk proses penyebaran agama Kristian telah diperkenalkan. Selain itu juga, sekolah tersebut dibina bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja dan perkeranian bawahan dalam sektor pentadbiran kerajaan. Sistem pendidikan tersebut dibina atas dasar – dasar saintifik dan empirical itu diperkatakan untuk menggalakkan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan dari sudut yang lebih pragmatik, analitik, dan individualistik yang mana berbeza daripada pandangan hidup masyarakat tradisional. Malahan, kemunculan pendekatan seni lukis bersandarkan kepada ciri – ciri ekspresi individualisme, ekspresif serta naturalistik dianggap muncul daripada sistem pendidikan tersebut. Kewujudan tersebut telah melahirkan pendekatan seni lukis moden dan kebaratan sejak awal abad ke 20.
            Seni lukis moden Malaysia lahir menerusi eksplorasi untuk mencari pendekatan baru dalam mentafsir alam sejagat yang berbeza dengan seni moden barat yang berkembang menerusi tradisi seni arca, fresco, dan catan yang hebat serta panjang. Pelukis Malaysia iaitu Syed Ahmad Jamal telah menghuraikan bahawa ketiadaan tradisi bergambar yang agung telah menyebabkan seni lukis Malaysia bebas daripada sebarang penyekatan. Faktor kebebasan dikatakan dapat mengubah dan meningkatkan daya usaha seniman untuk mempelbagaikan hasil karya.
            Kemunculan seni lukis moden negara ini boleh ditafsir sebagai suatu penerokaan baru bukan sahaja dari sudut bentuk, malahan ikonografi. Kegiatan seni telah dikuasai oleh penghasilan kesenian tradisional berasaskan komunikasi bahasa visual yang abstrak dan simbolisme yang mewakili sesuatu bangsa. Seni moden ini bercirikan masyarakat berbilang bangsa dan budaya. Perkembangan sosiopolitik dan ekonomi telah mempengaruhi rupa dan jiwa seni lukis moden Malaysia. Antara faktor yang mempengaruhi seni lukis moden Malaysia termasuklah kemerdekaan negara, kelahiran pelbagai institusi pengajian tinggi yang telah memfokuskan seni lukis dan seni reka, kemunculan kumpulan-kumpulan seni, pendidikan luar negara yang diikuti pelukis tempatan, sokongan kerajaan dan badan-badan korporat terhadap kegiatan seni visual daripada aspek penaungan, penubuhan galeri dan penajaan pelbagai pertandingan dan pameran.
            Selain itu, peristiwa bersejarah mengenai isu – isu politik, sosial, dan ekonomi tempatan dan global turut mempengaruhi perkembangan seni lukis moden Malaysia daripada era pramerdeka dan pascamerdeka.

No comments:

Post a Comment