Friday, March 11, 2011

CATAN

CATAN

Maksud Catan
Catan ialah proses menghasilkan seni dengan menggunakan bahan berwarna atau atau cat yang disapu ke atas sesuatu permukaan yang rata. Aktiviti catan membolehkan seseorang menyedari serta dapat merakamkan kesan cahaya pada bentuk, rupa serta susunan yang terdapat pada alam sekitar. Sejarah catan dikatakan bermula pada Zaman Yunani Purba. Gambaran yang dibuat mengisahkan aktiviti keagamaan. Media yang digunakan ialah mozek dan fresco. Pada Zaman Renaissance yang merupakan zaman kemuncak seni lukis di Eropah, media yang digunakan ialah cat minyak, cat air, fresco dan tempera. Pada abad ke-20, muncul satu aliran baharu dalam persembahan catan yang mempersembahkan catan yang mempersembahkan karya seni abstark dan semi abstrak. Di Malaysia, catan mula berkembang sekitar tahun 1930-an. Pelukis yang terkenal ialah Abdullah Ariff dan Yong Mun Sen yang banyak menggunakan media cat air.
Sejarah Catan
Perkembangan catan di Malaysia tercatat dalam lipatan sejarah bermula sekitar tahun 1920-an. Pada masa itu pengaruh kuat dalam catan di Malaysia adalah dari negara Eropah dan negara Cina. Pengaruh catan Eropah dipelopori dari kumpulan ‘Penang Ekspresionis’ yang telah tertubuh sejak sekitar 1920-an. Kumpulan ‘Penang Ekspresionis’ ini adalah dikalangan kolonial dari British yang banyak mempengaruhi genre lukisan pemandangan alam seperti catan tradisi pelukis Turner dan Constable serta realisme zaman Pre-Raphelites. Kumpulan ‘Penang Ekspresionis’ dalam kelompok elit dikalangan isteri-isteri pembesar kolonial yang berminat dengan seni lukis. Terdapat beberapa orang tempatan antaranya Abdlullah Aris dengan gaya pelukisan ekspresionis menggunakan bahan cat air.
Pengaruh dari negara Cina sangat kuat pada masa itu, Kumpulan pelukis ini adalah datang bersama imigran perniaga-peniaga Cina. Kebanyakan datang dari lembah Xu Beihong. Pada tahun 1920-an seorang Pelukis Cina bernama Yong Mun Sen datang ke Malaya (Malaysia), beliau datang melalui Singapura (pada masa itu Singapura dalam Malaya). Sekitar tahun 1937, pelukis-pelukis kaum Cina mula aktif melukis cat air dengan pengaruh catan Yong Mun Sen. Beberapa Kelab dan Persatuan Pelukis ditubuhkan dikalangan kaum pelukis Cina. Antaranya Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang, ‘Penang Art Teacher’s Caouncil’, Persatuan pelukis Pulau Pinang dan lain-lain.
Sekitar tahun 1950-an (Pasca Merdeka), penubuhan persatuan-persatuan pelukis semakin bersemarak di Malaya. Dalam tahun 1952 sebuah persatuan seni lukis yang diberi nama ‘Wednesday Art Group’ (Kumpulan Hari Rabu) telah ditubuhkan. Kumpulan ini diterajui oleh seorang berbangsa Inggeris bernama Peter Harris. Kumpulan ini membawa catan aliran moden seperti Impresionis dan Ekspresionis. Anggota kumpuan ini adalah dikalangan pelbagai kaum dari kalangan guru-guru berpendidikan sekolah Inggeris. Dalam tahun 1957 tertubuh pula kumpulan ‘Thursday Art Group’ (Kumpulan Hari Khamis) yang memberi saingan dengan kumpulan ‘Wednesday Art Group’.
Sekitar 1920-an hingga 1950-an, kepesatan perkembangan seni lukis Malaysia begitu menonjol, namun gaya catan masih banyak dibawah pengaruh lukisan-lukisan Cina dan Eropah. Pada tahun 1946, seorang pelukis dari Bogor Indonesia yang bernama Mohammed Hoessein Enas telah berhijrah ke Malaya. Kedatangan Hoessein Enas menenadakan satu pengaruh baru dalam masyarakat pelukis-pelukis Malaya (Malaysia) terutama gulungan pelukis Melayu yang dahagakan tunjuk ajar dalam seni lukis. Pengaruh beliau terus menjadi dominan dalam pertubuhan yang diterajuinya iaitu Angkatan Pelukis Semenanjung sekarang menjadi Angkatan Pelukis SeMalaysia. Semenjak kehadiran beliau, gaya catan naturalis dan realis dengan tema figuratif dan potret menjadi ikutan pelukis-pelukis Melayu pada ketika itu.
Media
a) Cat Air
Bahan warna dalam karya cat air ialah bahan pewarna dalam bentuk tiub. Ia bersifat lut sinar dan lembut. Cat air akan menjadi tebal sekiranya warna disapu berlapis-lapis. Bahantara yang digunakan ialah air. Kertas yang digunakan ialah kertas cat air. Berus yang sesuai digunakan untuk karya cat air ialah jenis lembut dan bersaiz antara 000 hingga 14. Palet juga diperlukan untuk membancuh warna. Sebuah bekas seperti gelas atau botol diperlukan untuk mengisi air bersih dan untuk mencuci berus.
b) Cat Poster
Cat poster boleh didapati dalam tiub atau botol. Ia mengandungi pengilat larut air dan bersifat legap. Bahantara yang digunakan ialah air. Berus yang digunakan untuk berkarya dengan menggunakan cat poster ialah jenis lembut dan keras. Manakala kertas daripada jenis ‘cartridge’ yang tebal dan berpermukaan licin digunakan. Air yang bersih diperlukan untuk menghasilkan campuran warna.
c) Cat Tempera
Bahan warna berbentuk serbuk atau perekat dalam tiub yang sedia proses. Ia mengandungi bahan pengilat seperti kuning telur atau gam cecair. Untuk menghasilkan karya menggunakan cat tempera, alat dan bahan yang digunakan ialah berus jenis lembut atau keras, kertas tebal, kain kanvas atau papan. Biasanya teknik yang diaplikasikan ialah disapu mengikut lapisan yang nipis, jalur sapuan diselang-selikan supaya kesan warna rata dan licin.
d) Cat Minyak
Cat minyak telah diperoleh dalam bentuk tiup. Bahantara untuk menggunakan cat minyak ialah turpetine. Bahan pengilat yang boleh digunakan ialah minyak linsid, minyak poppy atau minyak kacang. Berus yang digunakan adalah jenis lembut dan keras, pisau palet, kekuda, kanvas, papan, kayu playwood dan kadbod. Teknik yang diaplikasikan ialah teknik impasto, glazing, cat tepat atau hardedge, scumbling, pointelistik.

Teknik-teknik catan

a)Teknik Basah Atas Kering

Teknik ini melibatkan sapuan warna basah ke atas permukaan kertas yang kering untuk menghasilkan kesan legap. Teknik ini banyak digunakan kerana sesuai dengan beberapa jenis media dan agak senang dikawal sapuan warnanya. Teknik ini juga boleh menggunakan warna yang basah dan disapukan ke atas lapisan warna yang telah kering bagi mendapatkan kesan lut sinar.
campuran warna
Campuran warna yang hendak digunakan haruslah tidak pekat dan tidak terlalu cair. Kertas hendaklah kering. Sapuan berus yang spontan adalah digalakkan.
cara
Warna disapu ke atas kertas lukisan yang kering. Mulakan dengan lapisan yan nipis dan ditindih berperingkat-peringkat dengan ton yang semakin gelap. Untuk mendapatkan kesan transparensi, basahkan berus dan celup ke dalam warna yang cair, sapu di atas kertas lukisan. Biarkannya kering dan ulangi aktiviti yang sama.

b)Teknik Basah Atas Basah


Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas yang basah. Ia menghasilkan kesan lut sinar. Teknik ini merupakan teknik yang dramatik bagi media cat air dan yang paling sukar untuk dikawal sapuannya. Pelukis harus membiarkan warna terdahulu yang masih lembap. Sapuan warna berikutnya adalah lebih tinggi kandungan air dan pewarnanya. Jika tidak, warna akan bercampur dan hasilnya nampak kotor.
campuran warna
Campuran warna hendaklah tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Sebaik-baiknya ia harus mempunyai nilai warna yang cukup terang. Ini kerana warna cat air akan nampak kurang cerah apabila kering. Gunakan sapuan berus yang spontan.
cara
Kertas dibasahkan dengan satu lapisan air atau warna yang cair. Warna disapukan apabila permukaan masih basah. Jika menggunakan lakaran pensel, elakkan daripada memadam garisan kerana ini akan menimbulkan kesan berbulu. Seterusnya ia akan meninggalkan kesan kering berlegap.


c)Teknik Berus Kering


Teknik yang melibatkan sapuan warna terus dari tiub ke atas permukaan kertas. Teknik ini boleh juga melibatkan sapuan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering untuk menghasilkan kesan jalinan. Ia akan memberi kesan kering berlegap.
campuran warna
Gunakan warna terus dari tiub atau bancuhkan warna yang dikehendaki itu dahulu dengan pekat. Kertas hendaklah kering. Sebaik-baiknya, asingkan warna yang telah dibancuh.
cara
Gunakan berus yang kering untuk mengambil warna yang telah dibancuh. Warna disapukan dengan rata pada bahagian tertentu di atas permukaan kertas yang kering. Sapukan pada bahagian tersebut satu demi satu supaya warna pada setiap bahagian tidak bercampur. Gunakan berus yang halus bagi menandakan jalinan yang halus. Jika ingin menimbulkan kesan tindihan, biarkan warna kering dahulu. Kemudian, sapukan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering.

d)Teknik Kecatan

Ciri-ciri
Teknik ini melibatkan sapuan warna terus dari tiub. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat. Catan jenis ini memberi kesan jalinan dan kekasaran. Melalui teknik ini, catan kelihatan bebas, semula jadi dan spontan.
Campuran warna
Warna yang pekat dari tiub digunakan. Sapuan warna terus dari tiub atas kertas. Jika hendak menggunakan air, hanya gunakan sedikit sahaja.
Cara
Ambil warna terus dari tiub dan sapukan pada permukaan kertas lukisan. Campuran warna yang kedua ditindihkan di atas warna yang pertama tanpa menunggu warna itu kering. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat.


No comments:

Post a Comment