Tuesday, March 8, 2011

Sejarah Seni Moden di Malaysia

                                     SEJARAH SENI MODEN DI MALAYSIA

Latar Belakang Kelahiran Seni Lukis Moden Malaysia

Penglibatan Inggeris di Tanah Melayu bermula di Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudian pada tahun 1826, Inggeris telah membentuk Negeri – negeri Selat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pada tahun 1874, pihak Inggeris menandatangani perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak yang mana memperlihatkan perlantikan Residen Inggeris bagi menasihati Sultan dalam hal ehwal kerajaan kecuali yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat melayu. Penglibatan Inggeris dalam hal ehwal pentadbiran telah menggambarkan daya usaha mereka untuk melakukan satu perubahan dalam aspek sosiobudaya. Situasi tersebut boleh ditafsirkan sebagai asas kepada kemunculan bangsa Malaysia moden. Penguasaan Inggeris dalam bidang ekonomi dan sosiopolitik Melayu bertambah kukuh pada abad ke-19 menerusi polisi mereka membawa masuk kaum Cina dan India untuk bekerja dalam sektor perladangan dan perlombongan bijih timah.
            Ekoran daripada tindakan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu. Mereka menganggap hak mereka telah diceroboh sebagai ahli nyata di Tanah Melayu. Tambahan lagi perasaan tidak puas hati itu terpapar dalam akhbar seperti Warta Malaya yang telah menyeru agar orang Melayu bersatu serta menggunakan kuasa untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa mereka. Sistem pentadbiran dan polisi Inggeris telah menyebabkan krisis politik dan ekonomi dalam kalangan bangsa Melayu. Penjajahan Inggeris digambarkan sebagai satu ancaman terhadap masa depan bangsa Melayu sama ada daripada segi budaya dan politik. Pada tahun 1930 – an, banyak karya kartun Melayu yang telah melahirkan kebimbangan dan situasi masyarakat Melayu kesan daripada penjajahan orang Inggeris. Sebagai contoh, karya Abd. Manan yang berjudul “ Barat Tinggal di Barat , Timur Tinggal di Timur ” ( Warta Jenaka, 23 November 1936 ) yang mana bukan sahaja bersifat antibarat, malah pada masa yang sama mengkritik masyarakat Melayu yang terlalu mengagungkan Barat.
            Selanjutnya, kehadiran para pelukis dari Cina pada tahun 1930-an telah mencetuskan suasana berbeza dalam seni lukis moden Malaysia. Akademik Seni Halus Nanyang di Singapura telah dibentuk pada tahun 1938 yang diketuai oleh Lim Hak Tai yang merupakan seorang pelukis ternama dan berwawasan dalam memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Diantara pelukis – pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo Pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Cheng Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas perang dunia ke-2 dan terdedah juga kepada pengaruh modenis aliran – aliran di Perancis. Para pelukis telah memainkan peranan penting dalam memperkayakan stail catan tempatan dengan menggabungkan ciri – ciri timur dan barat. Pada tahun 1830-an, sekolah – sekolah ditubuhkan bertujuan untuk proses penyebaran agama Kristian telah diperkenalkan. Selain itu juga, sekolah tersebut dibina bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja dan perkeranian bawahan dalam sektor pentadbiran kerajaan. Sistem pendidikan tersebut dibina atas dasar – dasar saintifik dan empirical itu diperkatakan untuk menggalakkan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan dari sudut yang lebih pragmatik, analitik, dan individualistik yang mana berbeza daripada pandangan hidup masyarakat tradisional. Malahan, kemunculan pendekatan seni lukis bersandarkan kepada ciri – ciri ekspresi individualisme, ekspresif serta naturalistik dianggap muncul daripada sistem pendidikan tersebut. Kewujudan tersebut telah melahirkan pendekatan seni lukis moden dan kebaratan sejak awal abad ke 20.
            Seni lukis moden Malaysia lahir menerusi eksplorasi untuk mencari pendekatan baru dalam mentafsir alam sejagat yang berbeza dengan seni moden barat yang berkembang menerusi tradisi seni arca, fresco, dan catan yang hebat serta panjang. Pelukis Malaysia iaitu Syed Ahmad Jamal telah menghuraikan bahawa ketiadaan tradisi bergambar yang agung telah menyebabkan seni lukis Malaysia bebas daripada sebarang penyekatan. Faktor kebebasan dikatakan dapat mengubah dan meningkatkan daya usaha seniman untuk mempelbagaikan hasil karya.
            Kemunculan seni lukis moden negara ini boleh ditafsir sebagai suatu penerokaan baru bukan sahaja dari sudut bentuk, malahan ikonografi. Kegiatan seni telah dikuasai oleh penghasilan kesenian tradisional berasaskan komunikasi bahasa visual yang abstrak dan simbolisme yang mewakili sesuatu bangsa. Seni moden ini bercirikan masyarakat berbilang bangsa dan budaya. Perkembangan sosiopolitik dan ekonomi telah mempengaruhi rupa dan jiwa seni lukis moden Malaysia. Antara faktor yang mempengaruhi seni lukis moden Malaysia termasuklah kemerdekaan negara, kelahiran pelbagai institusi pengajian tinggi yang telah memfokuskan seni lukis dan seni reka, kemunculan kumpulan-kumpulan seni, pendidikan luar negara yang diikuti pelukis tempatan, sokongan kerajaan dan badan-badan korporat terhadap kegiatan seni visual daripada aspek penaungan, penubuhan galeri dan penajaan pelbagai pertandingan dan pameran.
            Selain itu, peristiwa bersejarah mengenai isu – isu politik, sosial, dan ekonomi tempatan dan global turut mempengaruhi perkembangan seni lukis moden Malaysia daripada era pramerdeka dan pascamerdeka.

IKONOGRAFI

Ikonografi
                            
                                           
TEORI  ERWIN PANOFSKY TENTANG IKONOGRAFI

Menurut pendapat Panofsky ikonografi adalah cabang sejarah seni yang mempelajari identifikasi, deskripsi dan interpretasi isi gambar. Kata ikonografi bererti "penulisan gambar", dan berasal dari Yunani Kuno.Ia merupakan lambang-lambang seni yang digambarkan melalui lukisan, ukiran arca, dan sebagainya.
            Ikonografi juga merupakan persoalan ikon yang memperkatakan mengenai objek dan makna.Peringkat awal Panofsky menerangkan mengenai objek dan makna apabila menceritakan bahawa kawannya menegur beliau dengan mengangkat topi. Dengan mengangkat topi itu beliau telah mengatakan itu sesuatu petanda tentang objek dan makna. Simbol mengangkat topi adalah suatu makna yang mendalam sama ada menghormati,menegur,bermesra, atau sopan santun. Makna itu juga boleh dikatakan sebagai makna inprisit atau makna yang mendalam. Makna tersebut tidak dapat diterima pada tempat yang lain.
            Terdapat tiga objek dan makna dalam karya seni iaitu objek yang natural atau primari, objek yang biasa atau sekunder dan makna intrinsik atau isi.

 OBJEK YANG NATURAL ATAU PRIMARI
·         Objek yang natural atau primary terbahagi kepada fakta dan eksperi
·         Makna diperolehi daripada bentuk
·         menurutnya lagi bentuk adalah dihasilkan daripada konfigurasi garisan,warna yang diperbuat daripada gangsa atau batu.
·         Objek natural adalah manusia,binatang,tumbuh-tumbuhan,rumah dan alatan
·         Makna yang berhubung dengan objek diperolehi daripada peristiwa.
·         Makna juga diperolehi dari perasaan seperti sedih dan suasana,sebagai contohnya,suasana rumah yang mewah atau rumah yang biasa.
·         Alam berbentuk demikian dipanggil objek primary dan motif seni yang asas.
·         Motif-motif tersebut dihuraikan sebagai pra-ikonografi dalam karya seni.
OBJEK YANG BIASA ATAU SEKUNDER
v  Beliau menggambarkan sebuah arca objek lelaki yang memegang pisau mewakili st.Bartholomew dan objek perempuan memegang buah peach adalah sebagai personality kejujuran.
v  Beliau juga menggambarkan objek karya lukisan ‘The Last Supper ‘ dalam gambaran dua watak jahat dan baik.
v  Karya tersebut menunjukkan peristiwa dan makna
v  Dalam hal yang demikian,maka dalam pengolahan karya di atas terangkumlah persoalan objek yang digambarkan dengan peristiwa.Di samping karya tersebut mencatumkan persoalan komposisi.
MAKNA INTRINSIK ATAU ISI
§  Beliau mendefinisikan makna melalui sejumlah prinsip yang menentukan sikap sesuatu Negara,zaman,kelas atau pendirian agama dan falsafah.
§  Kesemuanya adalah dinyatakan melalui personaliti seseorang melalui karya seni.
§  Beliau menyatakan kepentingan kaedah komposisi dan ikonografi dalam sesebuah karya.
§  Beliau telah membuktikan sesebuah karya bertajuk ‘Vigrin Mary’ dimana mary terbaring diatas sofa melutut memujuk ‘baby jesus’.Gambaran objek karya menunjukkan skema tiga segi.
§  Dari segi ikonografi mempunyai makna yang intrinsik.


TEORI SUSANNE K. LANGER TENTANG IKONOGRAFI

Beliau adalah ahli falsafah Amerika, pernah mengajar di Kolej Radcliffe dan kolej Connecticut sebagai Profesor. Karya beliau adalah bertajuk  An Introduction to Symbolic Logic, Feeling and Form: A Theory of Art dan banyak lagi. Beliau menyatakan bahawa dalam falsafah seni, bentuk atau form menjadi tumpuan utama.Beliau turut menerangkan tentang definisi seni dan fungsi seni. Susanne berpegang kepada 7 konsep teknik yang pelbagai dalam karya seni iaitu lambang, abstraksi, ekspresi, perasaan, bentuk, ilusi, dan imej yang tersirat. Lambang, abstraksi, perasaan dan bentuk adalah bersangkutan dengan takrif seni. Sementara ilusi dan imej tersirat adalah tesis tentang fungsi seni.
Selain itu, perkataan perasaan yang digunakan oleh beliau merangkumi semua hal yang dapat dirasakan atau dialami merangkumi kesakitan, sedih, pilu, riang, gembira, dendam, ketegangan intelek dan lain-lain. Menurut beliau bentuk mempunyai pengertian yang sangat luas. Bentuk dapat difahami antara lain sebagai bentuk sonata dan balada dalam puisi dan bentuk simfoni dalam muzik. Dalam pengertian ini bentuk merupakan sebahagian kecil daripada bentuk yang dimaksudkan oleh beliau. Dalam karya seni visual bentuk adalah struktur, kejelasan, satu kesatuan yang dihasilkan daripada hubungan faktor-faktor yang saling berkaitan.Secara ringkasnya bentuk adalah kesatuan yang disatukan.
Menurutnya pula abstraksi tidak hanya terbatas kepada objek-objek malah abstraksi juga dapat digunakan untuk peluahan rasa. Karya seni merupakan lambang ikon pada perasaan manusia yakni  lambang bagi maksud sesuatu. Lambang bagi seni ialah unsur-unsur dalam karya seni yang bersifat seperti kekudusan dan cinta. Langer menyatakan bahawa semua karya seni adalah memiliki satu ciri yang sama iaitu mengabstraksi lambang melalui gambaran serta melambangkan bentuk-bentuk perasaan manusia. Semua luahan dalam karya seni adalah luahan perasaan subjektif yang sukar difahami dan sama juga lambang bersifat ikon hanya difahami oleh pengkarya sahaja. Sussane K.Langer juga menyatakan bahawa karya seni meniru perasaan manusiawi walaupun peniruan itu tidak ketara.Teori peniruan Plato tidak diterima oleh Ranger. Bagi Ranger karya seni bukanlah peniruan  ianya adalah perasaan pengkarya. Beliau berpendapat karya seni hanyalah sebagai ilusi. Pengukuhannya ialah semua karya seni ada makna tersirat didalam perasaan pengkarya. Beliau berpendapat dalam ruang karya seni berbeza dengan ruang yang terdapat disekitar. Contohnya ruang dalam lukisan adalah ilusi berbanding dengan ruang sebenar.  
  

Gaya Penampilan Dalam Pengkaryaan

Gaya penampilan dalam pengkaryaan

Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek formalistik iaitu unsur dan prinsip, pengolahan karya dan gaya penampilan serta makna iaitu ikonografi yang tersurat dan tersirat. Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa seperti sejarah dan kebudayaan.Dalam mengkaji bidang sejarah seni, seseorang perlu mengetahui tentang bagaimana sesebuah karya itu diolah dan dihasilkan berdasarkan kepada gaya penampilan yang digunakan.
Dalam proses pengolahan karya, Horald Osborne mengklasifikasikan 3 kaedah yang perlu digunakan dalam pengolahan pengucapan seni visual iaitu idealisasi, representasi, dan  stailisasi. Idealisasi merupakan pengolahan yang lebih memberi penekanan kepada mesej atau pengertian atau mesej sebagai subjek utama. Ianya juga turut merujuk kepada unsur kepercayaan atau keagamaan yang banyak terdapat pada imej-imej keugamaan. Pengolahan dibuat menggunakan perkiraan dan formula sebagai maksud untuk  menyampaikan rasa keunggulan dan penataan secara hieratic yang melibatkan exaggeration sama ada dari aspek idea mahupun bentuk.
Representasi pula merujuk kepada perlambangan yang menyatakan tentang keperihalan sifat dan ciri sesuatu kualiti hal yang mujarad seperti berat atau isipadu sesuatu objek tanpa sebenarkan menekankan sifat luaran.Oleh itu ia melibatkan satu perlambangan aspek mujarad bagi maksud menginterpretasi tentang perkara yang bukan objek. Dalam banyak keadaan, sasaran pengambarannya lebih mengutamakan aspek yang elemental dan primeval. Melalui representasi, pelukis menitikberatkan kedua-duanya sama ada aspek-aspek formalistik dan mesej yang ingin disampaikan serta lebih memberi penekanan kepada penyampaian rasa. Contohnya karya Zulkifli Yusof yang menggunakan stail dan mesej yang bergerak selari dengan aspek formalistik.
Stailisasi pula merujuk kepada bahan dan teknik yang digunakan dalam sesuatu karya atau perekaan. Pengkarya tidak meletakkan mesej sebagai subjek utama. Pertimbangan imej dibuat dengan mengambil kira aspek ciri bahan yang digunakan dan rupa yang akan diserasikan dengan keseluruhan reka bentuk. Pendekatannya lebih berkait dengan masalah rekaan (design issues). Contohnya ialah, gambar dalam motif.
Selain itu, gaya penampilan juga memainkan peranan penting kepada pengkarya bagi mempersembahkan karya kepada khalayak umum. Ianya merupakan teknik penggambaran yang menyentuh soal gaya dan bagaimana imej dipersembahkan kepada umum. Terdapat banyak kaedah utama yang boleh mengarah kepada penekanan gaya penampilan. Antaranya ialah realistik, separa abstrak, dan abstrak. Teknik penggambaran menyentuh soal gaya dan bagaimana imej dipersembahkan kepada umum. Realistik bermaksud karya yang menggambarkan sepertimana objek atau situasi asal melibatkan imitasi, peniruan daripada bentuk asal.Contoh karya yang bertajuk Gadis Melayu, Potret Diri (Mohd.Hoessien Enas). Manakala separa abstrak pula bermaksud mengubah bentuk asal kepada unsur yang sukar difahami tetapi masih boleh dikenali unsur-unsur asal.Contoh karya “Girl Before a mirror” (Pablo picasso) dan ‘Hang Tuah Hang Jebat” (Ismail Mustam). Abstrak pula merupakan karya yang melambangkan keseluruhan imej yang sukar difahami , dikenali sebagai mujarad,niskala,kabur, tetapi pengkarya lebih mementingkan simbol,bentuk dan warna. Sebagai contoh Pago-pago (A.Latiff Mohidin) dan  Gunung Ledang (Syed Ahmad Jamal)

kreativiti


KREATIVITI
Pengenalan Kreativiti
Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, tetapi ianya   bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang. Kreativiti berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang. Bagi seseorang artis, pemikiran kreatif (pemikiran tampak) yang kadang kala tidak menggunakan walau sepatah perkataan, merupakan satu prosedur atau kaedah yang perlu digunakan apabila melihat, berfikir atau belajar bagi mewujudkan idea. Seseorang yang kreatif lazimnya tidak hanya memaparkan secara langsung tentang apa yang di lihat atau di alaminya. Ia mungkin menggunakan metafora dan anologi memproses pengalaman tampak untuk dilahirkan ke dalam bentuk tampak yang baru. Menurut Helbert Read, kita tidak hanya mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara dan menukarkan fakta kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat metafora (otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif. Bagi mempertingkatkan daya kreativiti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti pendidikan seni adalah diperlukan.
Definisi Kreativiti
Menurut kamus Webster’s (1976) kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama 
sekali.Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam,dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah 
mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada tiada kepada ada.Definisi ini seolah-olah 
melambangkan sesuatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang 
diinginkan.Malah,dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya.
Kamus dewan (1993)
memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif,
kekreatifan.


Pendapat tokoh-tokoh  tentang kreativiti

Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh berhubung dengan maksud kreativiti. Antaranya ialah pendapat daripada Viktor Lowengfeld, Gilchrist, Paul Torrance, June King McFee, Fryer, Victor Lowenfeld, Edward de Bono, Dunn dan ramai lagi.     
Mengikut Viktor Lowengfeld (1975), kreativiti ialah suatu naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.Gilchrist pula menyatakan bahawa kreativiti adalah keupayaan menghasilkan sesuatu yang baru dan menilai sama ada maujud ataupun tidak. (Leonard Yong,1994).
Manakala Paul Torrance (1974) memberikan definisi kreativiti sebagai proses yang mana seseorang menjadi peka terhadap masalah kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidakharmonian dan sebagainya, mengenal pasti perkara-perkara yang sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu, menguji dan mengkaji semula hipotesis-hipotesis ini dan memungkinkan pengubahsuaian dan mengujinya semula dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain (Leonard Yong,1994).
Bagi June King McFee pula, beliau berpendapat bahawa kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru bagi memperkemaskinikan idea yang ada. Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap sesuatu kreativiti. Berdasarkan kepada kajian Fryer dalam tahun 1989 (Fryer 1996) telah mendapat respons tentang maksud kreativiti. Antara maksud yang diperjelaskan oleh beliau ialah kreativiti adalah sesuatu yang asli, satu proses separa sedar, sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif, kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan dan kreativiti adalah kebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza, untuk mencari kepuasan dalam membuat atau menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan sehingga terhasilnya suatu produk.
Viktor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan, kreativiti berkait dengan suatu garis panduan atau prinsip yang perlu diikuti oleh seseorang iaitu menghasilkan atau memikirkan sesuatu yang baru, berbeza dan hasil yang unik, melalui proses pemikiran bercapah, motivasi yang tinggi, sentiasa mempunyai bentuk pemikiran yang terbuka, hasil yang tidak diduga, galakan memperkembangkan dan meningkatkan idea sendiri, kelainan, unik, individual dan keaslian, berlaku proses pemikiran kreatif, mementingkan proses dan bukan hasil, kekuatan pengetahuan dan kemahiran, keinginan meneroka sendiri, mampu mengkritik, menilai, idea dan subjek dimanipulasikan serta dikaji, teliti menggunakan langkah-langkah perkembangan kreatif : sumbang saran, penggunaan baru, adaptasi, modifikasi, magnifikasi, penyusunan semula, pengunduran, membuat penyenaraian dan dimensi lain (analogi).
Pendapat Edward De Bono (1992) pula menyatakan bahawa kreativiti adalah bermaksud mewujudkan sesuatu yang belum pernah ada iaitu sesuatu yang baru dan mempunyai nilai. Sesuatu hasil yang kreatif sepatutnya tidaklah mudah atau merupakan sesuatu yang biasa. Ianya mesti merupakan sesuatu yang unik dan jarang ditemui. Bagi pendapat Dunn (1992), mengatakan bahawa kreativiti ialah keupayaan untuk menjana idea baru, melihat masalah dari sudut yang baru dan mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelumnya. Kreativiti berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran asas dan pemikiran kritis dan ianya boleh difahamkan sebagai penggunaan pengetahuan dan maklumat dengan cara baru.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada pendapat pakar-pakar tokoh yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa konsep pemikiran kreatif berkisar kepada beberapa entiti seperti melakukan sesuatu dengan cara yang unik, berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box, melihat sesuatu daripada perspektif yang baru, menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea yang baru, mencipta sesuatu yang baru, berfikiran secara fleksibel, membuka minda dengan idea-idea yang baru dan mencabar andaian.